Mitsubishi pecah rekod jualan tertinggi di Malaysia April 6, 2021
- erwintamrin96
- 30 Jun 2021
- 2 min membaca
KUALA LUMPUR: Mitsubishi Motors Malaysia (MMM), pengedar rasmi kenderaan Mitsubishi Motors di Malaysia, mencatatkan prestasi jualan tertinggi dalam sejarah sebanyak 4,156 unit bagi suku keempat tahun kewangan berakhir 31 Mac 2021.
Prestasi itu melonjak 135 peratus daripada tempoh yang sama pada tahun kewangan sebelumnya.
Syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, dalam tempoh dikaji, Mitsubishi Motors juga menjadi tiga jenama bukan nasional yang mencatatkan prestasi jualan paling tinggi bagi tiga bulan berturut-turut.
Bagi tahun kewangan 2020, syarikat itu mencatatkan peningkatan jualan sebanyak 51 peratus dengan 11,554 kenderaan dijual berbanding tahun kewangan sebelumnya.
"Pencapaian jualan itu disebabkan oleh sambutan tinggi terhadap Mitsubishi Xpander baharu, yang menerima lebih daripada 9,300 tempahan sejak dilancarkan pada November 2020," katanya sambil menambah setakat ini syarikat itu telah menyerahkan 2,742 unit kepada pemilik baharu.
MMM berkata model laris syarikat itu, Mitsubishi Triton, juga mencatatkan prestasi cemerlang mendapat sambutan baik daripada rakyat Malaysia dan mencatatkan peningkatan jualan sebanyak 32 peratus dengan 7,568 unit dijual pada bagi tahun kewangan 2020 berbanding tahun kewangan 2019.
Ketua Pegawai Eksekutif MMM, Tomoyuki Shinnishi, berkata syarikat itu mengakhiri tahun kewangan 2020 dengan prestasi tinggi menerusi pemacu utama yang meningkatkan pertumbuhan, iaitu trak pikap Triton dan Xpander baharu dengan tujuh tempat duduk, meskipun keadaan pasaran yang mencabar.
Beliau berkata, susulan sambutan yang sangat positif terhadap Xpander baharu itu, syarikat berkenaan sedang berusaha meningkatkan jumlah pengeluaran bagi menampung semua tempahan permintaan.
"Disokong oleh pengedar yang komited, kami memperluaskan cawangan jualan kami ke Temerloh, Kuala Selangor dan Petaling Jaya pada tahun kewangan lalu dan lebih daripada 60 peratus pengedar sudah menaik taraf cawangan mereka untuk memberikan layanan yang terbaik kepada pelanggan," katanya.
Shinnishi berkata, bagi tahun kewangan 2021, MMM akan terus mengembangkan rangkaian pengedarnya untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan dari segi jualan dan selepas jualan.
"Sebagai balasan kepada sokongan padu ini, kami mengutamakan semua keperluan pelanggan dengan memperkenalkan penjualan pendigitalan yang lancar dan pengalaman selepas jualan dengan pengenalan Test Drive 2U, aplikasi mudah alih MITSUBISHI CONNECT serta Bilik Pameran Dalam Talian Mitsubishi yang baru dilancarkan," katanya.
-BERNAMA
SUMBER:
BERITA HARIAN ON-LINE

Komen